Sejarah Penubuhan

Pusat Latihan RELA Wilayah Selatan (PLRWS) yang terletak di Batu 14, Sungai Udang, 76300 Melaka adalah antara tiga (3) buah PLRW yang terdapat di Semenanjung dan masing-masing sebuah di Sabah dan Sarawak (bakal dibina).
Pada asalnya pembinaan pusat latihan ini dicadangkan di Selandar, Jasin, Melaka. Namun atas saranan YAB Ketua Menteri Melaka ketika itu, Tan Sri Rahim Tamby Chik, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menganugerahkan tanah seluas 0.17 hektar dalam Lot 002474 dan 002483, Mukim Sungai Baru Ulu, Daerah Alor Gajah, secara percuma kepada RELA.
Susulan daripada itu, Ketua Pengarah RELA, YBhg. Dato’ Ramli Abd Rahman dan Pengarah RELA Negeri Melaka, Kapt. (B) Ab. Karim Sulaiman (kemudiannya Ahli EXCO Kerajaan Negeri Melaka) telah berusaha untuk merealisasikan pembinaan PLRWS ini dengan mendapatkan sumbangan daripada orang ramai.
Hasil sumbangan kira-kira RM1 juta, termasuk daripada mantan Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba (Ahli Parlimen Jasin) pembinaan PLRWS dimulakan pada akhir tahun 1980-an dengan kerjasama Rejimen Askar Jurutera. Pada ketika itu hanya bangunan separuh kekal didirikan, manakala penugasan komandan PLRWS digilirkan di kalangan Pengarah-pengarah RELA Negeri Zon Selatan.
PLRWS dirasmikan pada 20 Mac 1999 oleh YAB Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang pada ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Dalam Negeri (kemudiannya Perdana Menteri). Pada tarikh yang sama beliau melancarkan FALSAFAH RELA yang kekal hingga ke hari ini.
Dalam Rancangan Malaysia Keenam, RELA telah diperuntukkan RM14 juta dan bermula 20 April 2002, infrastruktur PLRWS yang ada telah diubahsuai serta ditambah hinggalah ia tersergam indah sebagaimana yang ada sekarang.
Terkini, sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk menambah kemudahan di PLRWS, termasuk membina sebuah dewan serbaguna, satu blok asrama pegawai dan jurulatih, sebuah balai pengawal dan stor senjata. Pembinaan dijangka bermula dalam RMK-10.
Pusat Latihan ini juga merupakan ‘rumah’ bagi Pancaragam RELA Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2002. Semua aktiviti dan latihan pancaragam berpusat di sini.
PLRWS dengan moto ‘TERUS UNGGUL’ ini telah diterajui oleh enam (6) orang Komandan, iaitu: Kapt. (B) Minhat Manas (1990 – 15 Julai 1998), Kapt. (B) Kamarol Abu Bakar (16 Julai 1998 – 15 Nov. 1999), Kapt. (B) Ahmad Abdul Wahab (16 Nov. 1999 – 31 Nov. 2005), Kapt. (B) Mehat Ahmad (16 Nov. 2005 – 15 Mac 2007), Kapt. (B) Hj. Mohd Wardi Abdullah (16 Mac 2007 – 01 April 2007), dan Kapt. (B) Alias Md Jali (01 Jun 2007 hingga sekarang).

‘TERUS UNGGUL’
Read More!